PUTRAJAYA: Remaja yang terbabit dalam kegiatan lumba motosikal haram atau Mat Rempit akan dipulihkan menerusi Program Remaja Perkasa Negara yang akan diwujudkan mulai Januari tahun depan.
Program yang dilaksanakan di bawah Permata Negara itu membabitkan remaja berusia antara 18 dan 25 tahun yang terbabit dalam kegiatan me rempit yang dianggap berisiko tinggi untuk terbabit dalam masalah sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata sebagai permulaan seramai 50 remaja akan dipilih untuk menyertai projek perintis yang akan dilaksanakan Januari 2010.
“Mereka akan menyertai program itu selama dua minggu hingga enam bulan. Kita harap (mereka) dapat melalui proses pemulihan dan menambah kemampuan dari segi kemahiran kepimpinan, interaksi dan pengukuhan.
Hadir sama, isterinya yang juga Penaung dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib berkata, Mat Rempit yang terbabit dalam program itu adalah mereka yang melakukan kesalahan, malah ada antara mereka didapati mengulangi kesalahan berulang kali.
Justeru, katanya, pihak mahkamah akan mengeluarkan arahan supaya mereka menyertai program berkenaan.
“Mereka adalah kumpulan yang dipanggil mat rempit yang melakukan kesalahan dan boleh disabitkan dengan undang-undang tertentu, ada peruntukan di mana kalau buat kesalahan itu boleh dikenakan hukuman oleh mahkamah.
“Remaja ini kalau kita tahan dalam penjara, mereka akan terdedah atau terpengaruh dengan pesalah jenayah berat dan kesannya mereka bakal menjadi penjenayah lebih berat.
“Penyelesaiannya bukan hantar mereka ke penjara, tetapi lebih kepada proses pemulihan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, projek perintis perlu diadakan terlebih dulu dan kerajaan akan melihat kesannya sebelum menimbang sama ada menambah program berkenaan atau sebaliknya.
Sementara itu, Najib berkata mesyuarat semalam juga bersetuju untuk mewujudkan Pusat Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menempatkan kanak-kanak berkebolehan tinggi dan luar biasa yang dijangka beroperasi pada 2011.
Selain itu, katanya, jawatankuasa juga meneliti Program Permata Seni yang menumpukan kepada bidang seni koir dan muzik, di mana sekumpulan 33 kanak-kanak sudah dipilih untuk menyertai koir berkenaan yang bertujuan meningkatkan kebolehan mereka ke tahap antarabangsa seperti koir Diana Boys.
No comments:
Post a Comment
Takkan Tgk Jer Kot?Comment Sket..